Friday, 21 November 2014

Karangan Tingkatan 4

Langkah-langkah Yang Perlu Dilakukan Untuk Membendung Keghairahan Kanak-kanak Dan Remaja Makan Makanan Segera

          Sedasawarsa ini, isu tentang makanan segera sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini. Sebenarnya, pengambilan makanan segera memudaratkan kesihatan seseorang. Makanan segera banyak mengandungi garam dan gula serta lemak tulen yang menyebabkan pembuluh tersumbat dan penyakit obesiti. Umum mengetahui bahawa restoran makanan segera semakin hari semakin banyak diusahakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kanak-kanak dan remaja pula terlalu ghairah untuk makan makanan segera. Seandainya kita terus leka dan memandang remeh terhadap isu ini pasti Malaysia tidak mampu melahirkan generasi pemimpin yang sihat, berwibawa, fadil lagi kamil. Persoalannya, mengapakah masalah sedemikian berlaku? Marilah kita tepuk dadah tanya selera, siapakah yang harus dipersalahkan? Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatic harus dijalankan secara berterusan agar keghairahan kanak-kanak dan remaja makan makanan segera boleh dibendung hingga ke akar umbi.
            Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa tindakan yang perlu diambil untuk membendung keghairahan kanak-kanak dan remaja makan makanan segera ialah ibu bapa haruslah menyuntik gaya pemakanan yang seimbang dalan jiwa raga anak-anak. Dalam konteks ini, janganlah ibu bapa menjadikan rasa sayang kepada anak-anak sebagai satu alasan untuk memberi mereka makanan yang tidak sesuai dan boleh mempengaruhi tumbesaran kanak-kanak dan remaja. Ibu bapa sepatutnya memainkan peranan yang vital untuk mengawal pengambilan makanan segera bagi kanak-kanak dan remaja sejak mereka kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlu mengambil makanan yang seimbang dan menjauhi makanan segera supaya dicontohi oleh anak-anak mereka bak kata peribahasa, “kepimpinan melalui teladan”. Elakkan kerap membawa anak berkunjung ke restoran makanan segera. Hal ini demikian kerana anak-anak bagaikan kain putih yang suci dan kudus, ibu bapalah yang mencorakkannya. Tegaslah, ibu bapa perlu mendorong anak-anak mengamalkan gaya pemakanan yang seimbang.
            Sesungguhnya, peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah juga dapat membendung keghairahan kanak-kanak dan remaja makan makanan segera. Sebagai comtoh, guru-guru boleh menerangkan keburukan pengambilan makanan segera dan kebaikan pengambilan makanan seimbang melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini boleh diajarkan dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Pendidikan Moral. Pastikan maklumat yang disampaikan tidak seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Selain itu, kantin sekolah perlu mematuhi panduan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Pihak kantin tidak boleh terlalu banyak menjual makanan segera seperti keropok. Sebaliknya, pihak kantin harus menjual makanan yang sihat dan selamat dimakan supaya kesihatan kanak-kanak dan remaja tidak menjadi seperti telur di hujung tanduk. Nyatalah, pihak sekolah berperanan penting dalam mengatasi masalah ini.
            Tidak dapat dinafikan dari perspektif yang lain, masyarakat juga memainkan peranan yang signifikan dalam menangani masalah yang serius ini. Hal ini tercetus kerana para remaja dan kanak-kanak merupakan ahli kepada masyarakat setempat yang perlu diberi perhatian. Semasa meraikan pelbagai perayaan bersama-sama di dalam sesuatu kawasan perumahan, biasanya jamuan akan disediakan oleh Rukun Tetangga. Jamuan yang disediakan selalunya makanan segera yang murah dan senang disediakan. Dalam hal ini, Rukun Tetangga tidak seharusnya menyediakan makanan segera yang mengandungi bahan kimia sebaliknya menyediakan sayur-sayuran, buah-buahan dan salad yang mengandungi khasiat yang diperlukan oleh tubuh badan. Masyarakat juga boleh menegur kanak-kanak dan remaja yang membeli makanan segera dari restoran makanan segera atau dari gerai di tepi jalan dengan berhemah dengan harapan mereka akan lembut hati dan makan nasihat. Bertepatanlah dengan kata-kata mutiara, iaitu tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati. Tentulah, masyarakat hendaklah menyumbangkan tenaga dalam membendung masalah ini.
            Umum mengetahui bahawa antara langkah yang pragmatik untuk membendung keghairahan kanak-kanak dan remaja makan makanan segera ialah media massa tidak boleh selalu menyiarkan iklan yang berkaitan dengan makanan segera. Iklan tentang KFC, Pizza Hut dan Mc Donald mesti dikurangkan. Media massa perlu memainkan peranan yang berkesan dalam mempengaruhi hati dan minda kanak-kanak dan remaja ke arah kebaikan. Contohnya, media cetak boleh memuatkan rencana tentang kesan buruk pengambilan makanan segera dan kebaikan pengambilan makanan seimbang. Yang pasti, masalah ini dapat diatasi sekiranya pihak media massa sama-sama bahu-mambahu memainkan peranan dan tidak hanya memikirkan keuntungan sahaja.
            Namun demikian, satu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah kerajaan boleh memainkan peranan dalam menangani masalah ini. Saya berpendapat demikian kerana Kementerian Kesihatan boleh memgadakan kempen “Antimakanan segera” untuk memberikan kesedaran kepada kanak-kanak dan remaja. Pegawai dari Kementerian Kesihatan boleh menganjurkan ceramah dan menerangkan implikasi-implikasi pengambilan makanan segera supaya maklumat tersebut boleh dijadikan panduan kepada kanak-kanak dan remaja yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang. Pihak kerajaan turut boleh mengadakan program yang menggalakkan pemakanan seimbang. Sementelahan itu, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna harus memantau dan menganalisis kandungan makanan segera yang dipamerkan di iklan. Tambahan pula, pihak kerajaan juga hendaklah membekukan penambahan lesen perniagaan makanan segera untuk mengehadkan bilangan restoran makanan segera. Ghalibnya, kerajaan berperanan penting dalam membendung masalah ini.
            Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan gaya hidup sihat, kita wajar meneruskan pengambilan makanan seimbang dan tidak menjadikan makanan segera sebagai makanan wajib dalam hidup seharian. Sesungguhnya, otak yang cerdas dating daripada badan yang cergas. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat dan janganlah sudah terhantuk baru hendak tengadah. Sesungguhnya apa yang ditelan, itulah yang akan dihadam oleh perut. Jika makanan yang mengandungi kolesterol, gula, garam dan lemak yang berlebihan masuk ke dalam perut, maka badanlah yang akan menanggung akibatnya. Oleh itu, marilah kita bersama-sama ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk menyokong langkah membendung keghairahan kanak-kanak dan remaja makan makanan segera.           

          

No comments:

Post a Comment